You are here: Home Projek Fertigasi Penanaman Lada Secara Fertigasi

Sumber Tani

14
Apr
2009

Penanaman Lada Secara Fertigasi

E-mail Print PDF
Article Index
Penanaman Lada Secara Fertigasi
Pengenalan
Penanaman Lada
All Pages
AddThis Social Bookmark Button

Penanaman Lada Secara Fertigasi

Lada atau cili merupakan salah satu tanaman yang paling menguntungkan dan mempunyai permintaan sepanjang tahun di dalam kuantiti yang banyak dan tetap. Kelebihan menanam lada dan cili adalah kerana hasil boleh didapati dengan segera bergantung kepada benih dan jangkahayat pokok yang agak lama iaitu 6 bulan hingga 12 bulan bergantung kepada spesis lada atau cili tersebut dan bergantung kepada cara penjagaan pokok tersebut.

Penggunaan kaedah fertigasi penanaman lada boleh dibuat secara intensif dan pengeluaran hasil boleh dipertingkatkan berbanding dengan cara tradisional namun bakal pengusaha atau usahawan tani perlu mendalami kaedah fertigasi dengan cukup berserta dengan tekad dan kesungguhan yang tinggi untuk berjaya dari satu musim penanaman ke musim yang lain. Ini kerana pengetahuan teknikal fertigasi perlu dikuasai bagi mengurangkan kos "Trial & Error" sebelum teknik yang betul difahami sepenuhnya. Kebanyakkan pengusaha dan usahawan tani tanaman secara teknologi ini gagal kerana teknik tidak dipelajari dengan betul menyebabkan kos mempelajari melebihi kos pengeluaran hasil dan akhirnya terpaksa menamatkan projek tersebut.

Sumbertani berpeluang untuk mengikuti Kursus Penanaman Lada Secara Fertigasi yang telah diadakan oleh Biro Pertanian dan Penternakan, Kampung Linau Kecil, Batu Pahat pada 11 April, 2009 yang sudah. Berikut adalah sebahagian daripada intipati yang didapati daripada kursus berikut.


Kursus :Penanaman Lada Secara Fertigasi

Anjuran : Biro Pertanian dan Penternakan, Kampung Linau Kecil, Batu Pahat, Johor.

Tempat : Balai Raya Kg Linau Kecil, Bukit Pasir, Batu Pahat.

Tapak lawatan : Ladang Projek Pertanian Fertigasi Kampung Linau Kecil ( PROPE LINKE )

Pengendali :  En Rashid.

Laman Web : http://linaukecil.blogspot.com



Penafian
: Nota berikut adalah didapati dari nota kursus dan juga pemahaman setelah mengikuti kursus yang dianjurkan tersebut. Ia adalah sebagai panduan dan bukan sesuatu yang mutlak kerana keberkesanan setiap teknik boleh diperbaiki mengikut pengalaman dan suasana tempat.

Pengenalan

Fertigasi adalah kaedah penanaman yang mana baja dalam bentuk larutan atau cecair akan diagihkan terus kepada zon pemakanan pokok iaitu akar melalui satu sistem pengairan yang berjadual dan sistematik. Pada kebiasaannya sistem akan menitiskan baja yang telah disukat kandungannya dari takungan terus melalui paip-paip khas terus menitis kepada akar pokok tanaman.

Keperluan Asas :

  • Kawasan penanaman seperti Rumah lindungan hujan
  • Sistem Pengairan (Pam, Tong Air, Paip PVC, Pusat Kawalan Nutrien, dan sebagainya)
  • Baja khas untuk fertigasi
  • Sumber air yang bersih, bebas klorin, pH (6.0-7.5)
  • Alat pengukur pH, TDS dan EC Meter
  • Bekas tanaman di ladang dan tapak semaian
  • Medium tanaman seperti sabut kelapa, sekam padi
  • Biji benih yang terpilih

Kawasan penanaman menggunakan rumah lindungan hujan dan jaring kalis serangga adalah yang paling baik kerana ia akan dapat mengurangkan risiko makhluk perosak dan juga risiko kerosakan tanaman akibat hujan yang terlalu lebat kerana pokok lada atau cili adalah pokok yang agak lembut dan mudah patah. Namun untuk penanaman penanaman lada, memadai dengan memasang jaring di sekitar kawasan tanaman, namum serangga perosak perlulah dikenal pasti dan racun yang bersesuaian perlu digunakan. 

Penyediaan Tapak

Bagi penanaman lada tapak seluas 40x70 kaki adalah sudah memadai untuk penanaman 500 pokok. Tapak perlulah rata dan tidak berbukit kerana ia akan mempengaruhi sistem pengairan yang akan dibina kelak. Tapak perlu ditutup dengan plastik Silver Shine untuk mengurangkan kerja-kerja membersihkan kawasan penanaman dan ia akan membantu mengawal kebersihan kawasan penanaman.

Penyediaan biji benih

Biji benih boleh didapati daripada keda-kedai yang menjual benih lada dan ditanam ditapak semaian seperti dulang semaian plastik 104 lubang. Benih yang telah disemai memerlukan kawasan yang cukup matahari dan suhu yang sentiasa agak panas bagi tumbesaran yang anak yang baik. Siraman yang baik adalah semburan halus perlu dilakukan setiap hari menggunakan air bersih biasa tanpa sebarang nutrien kerana siraman adalah untuk mengekalkan lembapan sahaja. Benih perlu dipindahkan ke ladang setelah berumur diantara 20-25 hari. Hanya anak pokok yang sihat, subur dan daun yang sekata sahaja dipindahkan ke ladang.


Sebelum Tanam

  • Aturkan media mengikut jarak dengan jarak 2 kaki diantaranya.
  • Pacakkan tiang di kanan dan kiri di antara 9-10 kaki
  • Buat rintangan tal, 6 inci di atas media
  • Pasang tali di kanan dan kiri media
  • Gunakan polibeg putih berukuran besar sekurang-kurangnya 14x12
  • Sabut kelapa digunakan dengan tinggi minima 4 inci

Sesudah Tanaman

Penyediaan baja nutrien untuk pokok adalah aktiviti utama di dalam penanaman fertigasi. Baja untuk fertigasi adalah mudah didapati dalam bentuk serbuk Set A dan Set B.

  • Bancuh pati baja dibekas Set A dan Set B,1 kilo lebih kurang 1 liter air.
  • Tandakan bekas tersebut dengan jelas sebagai Set A dan Set B.
  • Masukkan ke dalam tangki mengikut sukatan sama banyak bagi A dan B

Untuk siraman 500 pokok sebanyak 5 kali sehari kepekatan larutan nutrien adalah :

  • 1-3 Minggu : 1.2 mS/sm
  • 4-5 Minggu : 1.4 mS/sm
  • 6-7 Minggu : 1.6 mS/sm

Cantasan pertama dan pembuangan tunas air perlu dibuat pada minggu ke 3 dan pokok perlu dikejutkan dengan kepekatan 1.8 mS/sm pada pertama kali siraman minggu ke 4. Cantasan ke 2 dan 3 pada minggu 4 dan 5.

Setiap 4 hari semburan makhluk perosak perlu dilakukan mengikut kesesuaian dan disyorkan menggunakan penggunaan racun berbeza setiap semburan. Lakukan pemeriksaan ladang setiap hari dengan kenalpasti simptom serangan penyakit, makhluk perosak, kekurangan nutrien, sistem pengairan, penapis dan sebagainya.

Pungutan Hasil

Hasil pertama boleh didapati setelah berumur 75-80 hari dengan warna coklat kemerahan. Tempoh pungutan hasil adalah bergantung kepada spesis lada yang cara penjagaan yang dilakukan ke atas pokok tersebut.

 


Maklumat terperinci dan kursus sila hubungi Prope Linke di http://linaukecil.blogspot.com.

 

 

Last Updated ( Tuesday, 14 April 2009 16:12 )  

Add comment


Security code
Refresh